CERPEN: MIRAGE ( Part I)



  
    
     
 'Cahaya terang menembusi
Bagai sebuah kisah misteri....'


Di luar jendela, hujan telah mula berhenti. Awan-awanan mula berarak perlahan. Mentari mula menampakan diri. Tersenyum riang di dada langit. Dan dia masih lagi di situ, lena dibuai mimpi yang indah bagai tidak berkesudahan. Sedikit pun lenanya tidak terganggu dek kedatangan mentari yang memancar-mancar ke muka jendela.

Naufal hanya mampu menggelengkan kepala sahaja melihat kelakuan sahabatnya yang sering bangun lewat kebelakangan ini. Lenanya tidur Asyraf bagai tidak mahu bangun untuk beribu tahun lagi. Bagai ingin terus lena bersama mimpi-mimpinya yang indah. Kelihatan nyenyak sekali. Melihatkan lena Asyraf  itu, bagai tidak sampai pula hati Naufal untuk mengejutkannya dari tidur. Tetapi tidak kali ini, Asyraf harus dibangkitkan apatah lagi sahabatnya itu telah banyak kali ketinggalan kuliah. Dari hari ke hari, prestasinya semakin merosot. Bimbang Naufal di buatnya.

“Raf, wake up Raf...,” saat ini suara Naufal seolah-olah bergema-gema di telinga Asyraf.

‘Ah, dari mana datangnya suara itu? Di mana aku sekarang?’ suara hati Asyraf berbicara sendirian. Segalanya menjadi gelap-gelita. Asyraf tergapai-gapai mencari arah. Hatinya resah-gelisah. Taman bunga yang indah bersama kelibat seorang gadis yang dikejarnya sebentar tadi menghilang sekelip mata. Tergapai-gapai dia sendirian mencari arah. Perasaan begini... memang menyakitkan...

“Raf! Bangun Raf!! Raf, kenapa dengan kau ni?!” cemas kedengaran suara Naufal bergema di telinga Asyraf saat ini. Risau Naufal tatkala dilihatnya peluh jernih merenik di dahi sahabatnya secara tiba-tiba. Seolah-olah dia sedang mengalami mimpi yang ngeri tika ini.

Saat ini mata Asyraf terbuka. Tercungap-cungap dia menarik nafas. Segala-galanya menjadi cerah semula. Namun di dalam suasana yang berbeza. Saat ini wajah Naufal terjengul  di ruang matanya. Wajah yang bukan di harapkannya tika ini. 




* * * * * *
   .
Saya sukakan bunga ros putih. Sebab bagi saya ia melambangkan cinta yang suci dan abadi terhadap seseorang. Begitu juga dengan warna putih. Awak tahukan saya sukakan warna putih?”  Masih terngiang-ngiang lagi suara lunak gadis itu suatu ketika dahulu. Ketika gadis itu sedang tekun mengatur bunga-bungaan segar di kedai bunga tempatnya bekerja. Tanpa disedari dia tertarik dengan keayuan dan kelembutan yang dimiliki gadis itu.

Asyraf tersenyum sendirian. Bahagia setiap kali bayangan wajah si dia bermain-main di ruang mata. Inikah rasanya cinta? Buat pertama kali di dalam hidupnya, dia benar-benar jatuh cinta. Indahnya.. dan dia mula mengatur agenda. Pada malam itu seperti yang telah dijanjikan mereka akan bertemu di sebuah restoren eksklusif yang telah ditempah khas Asyraf untuk mereka. 

Dalam ketidaksabaran menanti detik indah itu, Asyraf cuba menahan debar di dada. Buat pertama kali di dalam hidupnya dia akan melamar seorang gadis untuk dijadikan permaisuri hatinya. Oh, alangkah indahnya hidup ini andainya dia sebagai raja dan si dia sebagai ratu! Saat itu, dia tersenyum sendirian tatkala sejambak bunga ros putih kesukaan gadis itu bakal di berikan kepadanya.

“Saya cintakan awak Iris. Kita kahwin? ” lamar Asyraf sambil menyuakan sebentuk cincin berlian membuatkan Irisha terdiam tanpa kata sambil perlahan-lahan mula menyarungkan cincin itu ke jari manis Iris. Namun, belum pun sempat cincin itu selamat disarung ke jari manisnya, tiba-tiba jari manis Irisha menepisnya sehingga terpelanting cincin itu. Cincin itu bergolek keluar dan jatuh ke lantai. Asyraf terkedu.

“Maaf, saya tak boleh terima cinta awak... ” ujar Irisha tiba-tiba, kelihatan sayu sambil bingkas bangun dari situ. Tika itu, berubah wajah Asyraf.

“Nanti Iris... Apa maksud awak? Saya tahu kita saling menyintai... ” ujar Asyraf kedengaran kecewa sambil turut bangkit dari tempat duduknya.

“Awak dah salah faham Raf.. Selama ini saya anggap awak tak lebih macam abang kandung saya sendiri. Maafkan saya Raf... Maaf sebab buat awak salah-faham. Maaf...,” tepis Irisha , kedengaran kesal suaranya sebelum dia berlalu pergi meninggalkan Asyraf terpinga-pinga sendirian di situ. Wajahnya kelihatan sayu sekali saat itu. Begitu juga staff-staff yang bertugas di Restoren mewah itu. Masing-masing seolah-olah bersimpati dan kesal dengan apa yang berlaku.

‘Apa semua ini Iris?’ Asyraf tertanya-tanya sendirian. Perlahan-lahan sebutir air hangat mengalir lesu di pipinya.

“IRISSSS.......!!!!!!!”


Mr.Haikal Asyraf!!” Saat ini wajah Prof. Smith menjengah ke matanya membuat Asyraf tersedar dari lamunannya. Rupanya dia kini sedang berada di dewan kuliah  di University of Manchester bersama beratus pelajar lain  yang datang dari seluruh Negara.

“What’s the matter? What’s wrong with you? Why didn’t you answer me?” kedengaran keras suara Prof.Smith yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di situ.

Saat itu, barulah Asyraf menyedari semua mata sedang memandang ke arahnya. Kedengaran suara-suara sumbang berbisik sesama mereka.






* * * * * * 




Naufal hanya memerhatikan sahaja tingkah Asyraf yang kelihatan semakin ganjil kebelakangan ini. Awal-awal lagi lelaki itu telah masuk tidur tanpa sedikit pun mengambil kisah dengan tugasan kuliah yang berlambak-lambak. Berbeza betul dengan sikapnya ketika mereka sama-sama menyambung pelajaran di Malaysia dahulu. 

Asyraf yang dulu ghairah menyiapkan tugasan dan tidak suka menangguh kerja, tetapi kini?? Hmm... beginikah akhirnya cinta? Merana setelah dicurahkan segala? Iya, Naufal tahu. Sudah setahun berlalu Asyraf putus cinta dan sehingga kini Asyraf masih lagi tercari-cari kelibat gadis itu yang dikatakan telah menghilangkan diri secara tiba-tiba setelah menolak cintanya. Disebabkan itu, ibunya menghantar Asyraf menyambung pengajiannya ke peringkat Master di luar Negara.

Deringan telefon bimbitnya yang berbunyi tidak jauh darinya lantas menyedarkan Naufal dari lamunan. Pantas panggilan itu disambut, kedengaran suara Datin Rafiza , ibu Asyraf di talian.

“Macam mana keadaan Raf sekarang? Dia okey tak ? Selalu tak keluar lewat malam? Bagi auntie dia okey kalau selalu pulang lewat malam...” kedengaran pelik soalan Datin Rafiza di talian untuk memastikan anaknya di dalam keadaan baik. 

Namun, itulah diri Asyraf yang sebenar suatu ketika dahulu sebelum mengenali gadis yang bernama Irisha itu. Pergi ke Kelab Malam dan selalu pulang lewat malam adalah rutin harian Asyraf suatu ketika dahulu.

“Entahlah auntie... Susah nak cakap. Macam semakin kronik aje...selalu mengelamun, khayal dan adakalanya senyum sendiri. Dia nampak macam orang angau setiap masa. Nak kata ambil dadah tidak pulak. Saya dah periksa semuanya. Nak kata selalu keluar lewat malam pun tak ada pulak... Sebaliknya kalau boleh 24 jam aje dia nak terperap kat dalam rumah ni. Asyik nak tidur aje macam dah tak nak bangun-bangun lagi....” kedengaran sedikit mengeluh Naufal meluahkan apa yang dilihatnya. Dia benar-benar bersimpati dengan Asyraf. Sudah puas dia cuba mencungkil isi hati Asyraf, tetapi tidak berjaya. Asyraf kini bagai asyik dengan ‘dunia’nya sendiri.

“Semakin kronik?? Aa...apaa.. maksud kamu? Ada lagi ke perkara pelik yang dibuatnya?” soal Datin Rafiza takut-takut, kedengaran bergetaran nada suaranya.

“Err.. ehem.. auntie, bekas kekasih Raf dulu pakai cermin mata ye?”

“Macam mana kamu tahu? Kamu pernah jumpa perempuan tu ke dulu? Atau Asyraf tunjuk gambar dia pada kamu??” kedengaran bengis nada suara Datin Rafiza secara mendadak.

“Bukan..bukan macam tu auntie... Cuma sejak kebelakangan ni Raf setiap kali nampak perempuan pakai cermin mata, tak kisahlah di mana-mana pun mesti dia toleh, cari... kejar... Sampaikan mak cik cleaner yang dah tua tu pun dia ingat girlfriend dia jugak.. Parah betul...” adu Naufal serius, namun kedengaran lucu nada suaranya mengakhiri kata-katanya. Bukan bertujuan mengejek tetapi, keletah sahabatnya yang bagai orang tengah angau teruk itu kadang-kala mencuit hatinya.

Datin Rafiza termangu seketika. Mendengarkan kata-kata Naufal itu, membuatkan jantungnya bagai di sentap-sentap tiba-tiba. Dan talian di putuskan.

 






 Bersambung..



Comments